Total Pageviews

Wednesday, January 27, 2010

subsidi minyak.
Antara perkara yang banyak dipersoalkan adalah, pengguna Merc-edes pun membayar harga minyak yang sama dengan pengguna Kanc-il. Sedangkan yang pakai Kanc itu majoritinya bukanlah berduit macam pengguna Merc pun.
Subsidi petrol ini merupakan satu perkara yang rumit. Tak beri salah, beri pun salah.
Pada saya, apa yang kerajaan patut buat adalah, fokus kepada perkara yang boleh mereka kawal. Jangan fokus kepada perkara yang mereka tidak boleh kawal.
Misalnya, turun naik harga minyak dalam pasaran terbuka, bukan sesuatu yang boleh dikawal oleh kerajaan. Walaupun Malaysia pengeluar minyak, tetapi negara anggota OPEC adalah lebih berkuasa dari Malaysia. Jadi, harga minyak bukan perkara yang patut kerajaan fokus.
Tetapi kerajaan boleh mengawal infrakstruktur kemudahan awam, kerajaan boleh mengawal cukai kereta, kerajaan boleh mengawal tol di lebuhraya.
Kerajaan sepatutnya memikirkan, sekiranya minyak terpaksa dijual RM 180 / liter , rakyat mempunyai lebih dari satu pilihan pengangkutan untuk meneruskan urusan sehari-hari.
Bagaimana kualiti jalan di Malaysia?Bagaiamana kualiti bas awam ?Bagaiamana kualiti teksi ?Bagaimana kualiti ERL, Star, Putra dan KTM komuter ?Bagaimana rakyat boleh tidak terbeban dari cukai berlebihan dalam industri jual beli kereta ?Bagaimana tol boleh dihapuskan ?
Masalahnya sekarang, kita tidak punya banyak pilihan. Harga minyak melambung. Tetapi pengangkutan awam yang sedia ada tidak mampu menyelesaikan masalah. Sudah lah kos tol, pembelian kereta di Malaysia sudah sedia terbeban, ditambah pula dengan kenaikan petrol, maka sudah tentu lah rakyat marah.
Bagi saya, selagi mana infrastruktur pengangkutan awam ini tidak dibaiki dahulu, buatlah apa pun dengan struktur subsidi minyak, ia tidak banyak membantu, lebih-lebih lagi kalau anda tergolong dalam golongan middle-class. Anda perlu memilih untuk menjadi orang miskin, atau orang yang kaya.
Sistem sedia ada hari ini adalah kerajaan perlu membantu orang miskin dan orang kaya, dan mengenakan cukai yang tinggi terhadap middle-class.
Contoh dalam Belanjawan 2010 :
Orang miskin tidak pakai kredit kad. Orang middle-class banyak pakai kredit kad. Orang kaya, mengeluarkan kredit kad. Siapa yang kena cukai perkhidmatan RM 50?
Orang miskin tidak bayar cukai pendapatan. Orang middle-class kena bayar cukai pendapatan sampai 26%. Orang kaya, dapat banyak pengecualian cukai, dan bantuan dalam bentuk projek kerajaan.
Orang miskin tidak pakai broadband yang hampeh tu. Orang middle-class yang banyak pakai broadband yang hampeh tu, dan diberi rebat cukai sebanyak RM 500. Dan orang kaya dapat menikmati dahulu peruntukan RM 11.3 bilion untuk projek High Speed Broadband.
Orang miskin tidak pakai komputer. Orang middle-class pakai komputer. Orang kaya jual komputer. Dan penjawat awam dibenarkan untuk buat pinjaman dengan kerajaan 3 tahun sekali untuk beli komputer dari tauke-tauke komputer ni.
Orang miskin tidak beli Sukuk 1Malaysia. Orang middle-class akan banyak beli Sukuk 1Malaysia. Dan orang kaya yang mendapat manfaat terlebih dahulu dari RM 3 bilion yang bakal dikutip dari Sukuk 1Malaysia. Orang middle class cuma dapat 5% setahun.
Orang miskin tidak punya KWSP. Orang middle-class semua ada KWSP. Tapi orang middle-class cuma dapat kira-kira 4.5% sahaja setahun. Tetapi orang kaya yang uruskan dana-dana KWSP dapat imbuhan yang lebih dari pencarum itu sendiri, tengok sahajalah ValueCap Sdn Bhd, senang-senang pinjam RM 5 bilion. Kita nak keluarkan duit KWSP sendiri pun susah.
Ya, dalam Belanjawan 2010 kali ini ada disebut pasal meningkatkan kemudahan awam. Tetapi saya fikir, ia sudah disebut dari dulu sampailah sekarang. Tetapi bila berlaku kenaikan harga minyak, kebanyakan kita masih belum boleh lagi meninggalkan kereta di rumah dan memilih untuk menaiki kenderaan awam bukan ?

Thursday, January 21, 2010

Ucap Perdana Perhimpunan Kebangsaan Pegawai JASA 2010 Pada 19/01/2010
Kuala Lumpur, 19 Januari 2010 - Ucap Perdana Perhimpunan Kebangsaan Pegawai JASA 2010 "Jasa Mendepani Cabaran" oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, bertempat di Hotel Grand Seasons. Turut serta di Perhimpunan tersebut ialah YB Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, YB Dato' Joseph Salang, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia I. YB Senator Heng Seai Kie, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia II. YBhg Datuk Wira Kamaruddin Siaraf, Ketua Setiausaha Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, YBhg Dato' Fuad Tan Sri Hassan, Ketua Pengarah JASA. Dalam Ucap Perdana tersebut, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, "Dalam menghadapi cabaran era globalisasi yang semakin kompetitif pada hari ini, kita tidak boleh lagi menoleh ke belakang, melayani pandangan kedua dan berhenti daripada melakukan perubahan dan pembaikan". Objektif perhimpunan tersebut adalah memperbaharui iltizam bagi memacu semangat kerja yang berganda, merancang strategik gerak kerja yang lebih tersusun, terarah serta merapatkan hubungan silaturrahim dan jaringan kerja dikalangan pegawai JASA.
Nyayian Lagu Negaraku, 1Malaysia dan Warisan pada Ucap Perdana Perhimpunan Kebangsaan Pegawai JASA 2010 "Jasa Mendepani Cabaran" tersebut turut dinyayikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia (tengah), YB Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, YBhg Dato' Fuad Tan Sri Hassan, Ketua Pengarah JASA (kiri), YB Senator Heng Seai Kie, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia II (dua dari kiri), YB Dato' Joseph Salang, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia I (dua dari kanan) serta YBhg Datuk Wira Kamaruddin Siaraf, Ketua Setiausaha KPKK (kanan) yang juga menyemarakan lagi semangat 1Malaysia pada perhimpunan tersebut. Foto: Muhammad Zulfadli Selamat.
Cenderamata Istimewa yang disampaikan oleh YB Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada Perhimpunan Kebangsaan Pegawai JASA 2010 "Jasa Mendepani Cabaran" yang turut disaksikan juga oleh YB Dato' Joseph Salang, Timbalan Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia I dan YBhg Dato' Fuad Tan Sri Hassan, Ketua Pengarah JASA (kiri). Foto: Muhammad Zulfadli Selamat.
Seramai 1,000 pegawai JASA yang menghadiri Ucap Perdana Perhimpunan Kebangsaan Pegawai JASA 2010 "Jasa Mendepani Cabaran" bersalaman dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan YB Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia. Foto: Muhammad Zulfadli Selamat.

Ucap Perdana Perhimpunan Kebangsaan Pegawai JASA 2010 "Jasa Mendepani Cabaran" yang disampaikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan YB Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia

Monday, December 14, 2009

NKRA DI MATA RAKYAT

Rasa tidak puas menonton dokumentari "Biography Mahathir" di History Channel. Saya tertarik apabila menonton semula klip video bagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu menjadi Perdana Menteri memperkenalkan kad perakam waktu dan tag nama untuk kakitangan kerajaan. Kedua-dua inisiatif ini nampak mudah, tetapi menyampaikan mesej yang jelas kepada kakitangan kerajaan dan rakyat -- Dr Mahathir ingin meningkatkan produktiviti sektor awam melalui akauntabiliti.

Saya masih ingat lagi, Dr Mahathir jugalah yang menyamakan waktu antara Sabah dan Sarawak, dan Semenanjung Malaysia. Tatkala itu, waktu antara Sabah dan Sarawak, dan Semenanjung Malaysia berbeza selama 30 minit.

Tujuannya ialah supaya tidak ada perbezaan waktu untuk seluruh rakyat Malaysia. Dengan cara itu, komunikasi dan interaksi menjadi lebih mudah. Negara jiran turut mengikut keputusan tersebut. Saya masih ingat lagi bagaimana sesetengah orang tidak faham apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir. Sewaktu hampir waktu sembahyang Jumaat di sebuah masjid di Kodiang, imam masjid tersebut mengisytiharkan "Mahathir nak jadi Tuhan" dan meminta bilal memacak kayu di tanah untuk melihat bayang matahari sebelum azan!

Itulah pendekatan Dr Mahathir. Apa yang beliau buat boleh dilihat dan rakyat tidak sukar menilainya.

Hari ini, Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak mengatakan beliau berpuas hati dengan pencapaian enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Saya percaya kenyataan itu dibuat selepas melihat data yang dibentangkan oleh anggota kabinet yang bertanggungjawab bagi bidang-bidang tersebut.

Saya mengucapkan tahniah kepada Najib dan kabinet atas pencapaian itu. Bagaimanapun, apa yang penting ialah untuk rakyat melihat, menyentuh dan menghidu pencapaian itu. Merekalah yang akan membuat penilaian terhadap Najib dan kerajaan dalam PRU13 nanti. Sementara orang ramai boleh melihat maklumat mengenai pencapaian NKRA itu dalam pameran di Pusat Konvensyen Sunway pada 18 Disember ini, namun apa yang lebih penting ialah untuk mereka dapat melihat sendiri manfaatnya.

Ambil contoh bidang pengangkutan awam yang diketuai oleh Dato' Seri Ong Tee Keat. Sampai sekarang saya masih belum melihat suatu perubahan yang ketara dan boleh dibanggakan. Perkhidmatan teksi, bas, dan LRT -- kata orang utara -- "dok macam tu jugak!" Ini bukan bermaksud tidak ada perubahan. Indikator NKRA mungkin menunjukkan peningkatan. Namun, ia masih belum sampai ke peringkat yang dapat dirasai oleh rakyat.

Selagi mereka tidak dapat melihat perubahan mutu perkhidmatan teksi, bas dan LRT, selama itulah indikator NKRA tidak memberikan apa-apa makna kepada mereka.

Rakyat tak ingin melihat peratus peningkatan, mereka ingin melihat pemandu teksi mengambil semua penumpang tanpa soal.

Rakyat tak ingin melihat bar chart, mereka ingin bas tiba pada waktunya dan tidak rosak di tengah jalan.

Rakyat tak ingin melihat gambar berwarna-warni, mereka ingin melihat perkhidmatan LRT mencakupi seluruh pelusuk kota.

Dan, saya fikir itulah cabaran yang paling besar untuk Najib -- untuk menterjemahkan angka, carta dan gambar ke dalam bentuk perkhidmatan yang dapat dirasai oleh rakyat.

Ah, apa kata Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Dato' Seri Idris Jala, dua orang menteri yang diberikan tanggungjawab menguruskan KPI dan NKRA ini?

Wednesday, November 25, 2009

APA NAK JADI

DAP UNTUNG, MCA TAK RUGI
Setelah hampir 40 tahun Singapura keluar Malaysia, akhirnya DAP berjaya meletakkan Setiausaha Agungnya menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Saingannya, Parti Gerakan sudah hampir lumpuh.Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon sekarang menjadi "menteri ehsan", sama taraf dengan "wang ehsan." Dia menjadi menteri melalui lantikan senator, bukannya dengan menang pilihanraya.Saya tak fikir pengundi Pulau Pinang akan memberikan mandat kepada Parti Gerakan untuk kembali menerajui negeri itu; sekurang-kurangnya tidak dalam pilihanraya umum akan datang. Satu-satunya cabaran yang agak kuat untuk DAP di Pulau Pinang ialah MCA. Saya katakan "agak kuat" kerana MCA pun belum tentu cukup kuat untuk berhadapan dengan DAP.Bagi menentukan MCA tidak memberikan saingan dalam PRU13, maka ia mesti dilemahkan. Apakah kaedah yang terbaik untuk melemahkan sesebuah parti selain mewujudkan krisis kepimpinan?Itulah yang sedang berlaku sekarang.
Boria Pulau Pinang diberikan nama,Buat persembahan malam dan pagi,Marilah kita pakat sama-sama,DAP untung, MCA tak rugi.Ewaaaah!

APA NAK JADI MCA

Monday, November 23, 2009

selamat hari lahir khairunisaq

Selamat hari lahir Khairinisaq ucapan dari ayahanda ,bonda ,kekanda dan ninda.Semoga panjang umur dan murah rezeki dan beriman .

Sunday, November 22, 2009

MAIN DAM DAPAT HAJI FREE

Tauke Teng, Nudin Awang dan George Michael15 11 2009
Bagi yang belum baca apa Rocky Bru tulis pagi ini, sila terlebih dahulu ke sana.
Bagi yang sudah baca apa yang Rocky Bru tulis, apa kata kita naik beca dan perlahan-lahan memahami istilah kronisme bersama Bakaq Haq.
Di dalam dunia junjungan kita Muhammad s.a.w tidak ada balak. Tetapi tidak pula saya dengar orang-orang alim bercerita bahawa junjungan kita menganugerahkan ladang kurma klon atau projek kambing dan unta Kerajaan Islam Madinah yang bernilai berjuta-juta dinar dan dirham kepada saudara maranya. Mungkin sebab tidak wujud projek-projek sedemikian.
Yang ada ialah pembahagian harta rampasan perang, hamba dan tawanan perang dan balu-balu korban perang.
Yang ada ialah pembahagian tugas untuk mengetuai bala tentera ke medan perang atau menyebarkan syiar Islam ke ‘hostile territories’. Tugas-tugas yang kalau diserah pada kita hari ini, tak ramai yang bersedia menerimanya.
Tiada siapa akan pertikaikan jika Ariffahmi di beri pangkat dan anugerah jika Nik Aziz sudah tiada. Seperti terangkatnya para Khalifah dari kalangan sahabat terdekat yang juga bapa mertua dan menantu Rasullullah s.a.w.
Tok Guru kita kata orang yang hendak menaja pemergiannya ke Mekah bersama Datin, Ariffahmi dan Nik Amalina dan Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar tidak pernah dapat projek daripada Kerajaan Negeri. Maklumat yang didedahkan oleh Rocky pagi ini menafikan hujah Tok Guru.
Satu Kelantan sudah tahu bahawa Nudin Awang adalah lelaki yang menaja Pakej Haji yang jumlah keseluruhannya hampir RM455,000 itu. Ramai yang melihat resit pembayaran yang Nudin tayang di sana dan di sini dengan penuh rasa rendah diri itu.
Ramai juga tahu, tiba-tiba Nudin kelam kabut dan cuba untuk meminta agensi pelancongan itu menukar nama pembayar bil itu.
Ramai juga tahu selepas bersetuju dengan pujukan Ariffahmi untuk ke Mekah, Tok Guru sendiri telah menalipon Nudin.
Ramai juga lihat Nudin datang ke satu majlis selepas panggilan itu dan berdiri dibelakang Tok Guru dengan bangganya sewaktu Tok Guru mempertahankan perlunya satu EGM dalam PAS.
Akhirnya ramai yang tidak mahu beritahu bahawa Teng Hu Ling adalah orang yang perlu dihubungi jika kita mahu bercakap dengan wakil Great Eastern Mills Berhad.
Ramai juga tidak mahu beritahu bahawa Great Eastern Mills Berhad di mana Nudin Bin Awang adalah Pengarah Syarikat telah menerima 10,000 ekar balak bernilai lebih RM20 juta daripada sebuah agensi kerajaan yang dipengerusikan oleh Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat. Balak yang diterima oleh Great Eastern Mills Berhad di serahkan pula kepada SEAL Incoporated Berhad dan boleh di lihat di sini balak-balak itu.
Namun ada satu perkara yang ramai langsung tidak tahu ialah seorang lelaki bernama Abdul Ariffahmi Bin Abd Rahman, ahli UMNO cawangan Chakung di Bahagian Machang dengan nombor keahlian 0266057, yang ibu bapanya dan adik beradiknya melainkan seorang abangnya sahaja bukan ahli UMNO ialah orang yang menjemput Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk ke Mekah.
UMNO Cawangan Chakung terletak di DUN Temangan. Ariifahmi adalah ahli biasa dan Ketua Cawangan ialah Sdr. Saidi Husin. Ketua Pemuda Cawangan ialah Sdr. Azman Ibrahim. Setelah berlaku selisih faham yang melibatkan masalah dalaman UMNO Machang, Cawangan ini di sisih. Akibatnya bermula tahun 2006, ramai ahli termasuklah Ketua Cawangannya sendiri telah memasuki PAS. kakitangan ibu pejabat UMNO Cawangan Chakung yang terletak di Taman Siti Aishah berdekatan Wakaf Bata di jalan lama Tanah Merah – Machang boleh memberikan tarikh Ariffahmi mendaftar menjadi ahli UMNO.
Saya tahu Ariffahmi akan menafikan hal ini dan mengatakan bahawa dia telah menjadi ahli UMNO secara tidak sukarela. Hal ini kita serahkan kepada UMNO Malaysia untuk menyelesaikannya dan kerana di celah-celah timbunan fail di mana-mana bangunan UMNO masih terselit sekeping borang lusuh yang diisi nama Abdul Ariffahmi. Cuma, janganlah salahkan UMNO semata-mata kerana nafsu kita cukup buas.
Dan ramai langsung tidak tahu bahawa pada 31 Julai 2009 sudah ada satu perancangan rapi di buat di Kampung Langgar, Kota Bharu yang menghasilkan ini, ini dan ini.
Naib Presiden PAS sekarang, YB Salahuddin Ayub juga boleh menjelaskan bahawa orang yang sama pernah merancang untuk menggulingkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang selepas PRU ke 12. Bagaimana saya tahu? Sebab saya duduk bersebelahan dengan YB Salahuddin dalam pertemuan yang dirancang oleh Abdul Ariffahmi di Hotel Perdana sebelum bangunan itu dirobohkan.
Abdul Ariffahmi mendakwa bahawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz mahu Ustaz Hadi berundur dan digantikan dengan anak didiknya YB Husam Musa sebagai Presiden PAS. Ariffahmi mengarahkan supaya YB Salahuddin yang ketika itu Ketua Dewan Pemuda untuk menggunakan jentera pemuda menggulingkan Ustaz Hadi. YB Salahuddin hanya diam. Benarkah ini kehendak Nik Aziz atau ini lagi satu projek Ariffahmi.
Setelah dua tiga pertemuan saya dan YB Salahuddin bersetuju bahawa Ariffahmi sudah hilang akal dan idea itu bukan sahaja bertujuan untuk membunuh karier politik YB Husam tetapi juga berupaya memporak perandakan PAS.
Melihat perancangannya itu gagal sama seperti semua projek-projek yang diamanahkan kepadanya iaitu projek loji air Kampung Puteh dan Bandar Baru Tunjung, Ariffahmi berpaling kepada seorang rakan karib saya yang saya panggil di zaman persekolahan sebagai George Michael.
Kemudiannya George Michael mengerjakan umrah dengan Tuan Guru Nik Aziz dan Ariffahmi yang menghadiri tugas rasmi di Kuwait mengarahkan PMBK membayarnya untuk menyertai George Michael dan Tok Guru di Jeddah.
Pulang ke Kota Bharu, Tok Guru tak kering gusi memuji George Michael dan nyaris-nyaris meluluskan satu projek strategik kepada George Michael. Akhirnya, atas usaha orang-orang yang kenal George Michael, berjaya menyekat pemberian projek kepada George Michael tanpa perlu mendedahkan latar belakang siapa sebenarnya George Michael. Cuma malangnya Ariffahmi sudah menyerahkan kepada George Michael salinan asal fail tebal berhubung kajian projek strategik dan terperinci oleh konsultan yang dilantik dengan yuran hampir sejuta ringgit itu untuk tugas berat dan penting itu. Pihak PKINK, pemilik fail tersebut telah enggan menyerahkan fail itu walau diminta oleh Arrifahmi menyebabkan Ariffahmi mengarahkan Pejabat Menteri Besar memohon fail tersebut. Apabila fail tersebut tiba di Pejabat Menteri Besar, Ariffahmi telah mengambilnya.
Semenjak insiden melibatkan George Michael itu, kegusaran mula wujud di atas kewarasan Ariffahmi. Mengapa dia sanggup menyeberang begitu jauh sekali?